Naib ketua Wanita Umno Norliza pengerusi PTPTN baharu

Naib ketua Wanita Umno Norliza pengerusi PTPTN baharu

Pelantikan Norliza Abdul Rahim diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin menyerahkan surat lantikan pengerusi PTPTN baharu kepada Naib Ketua Wanita Umno Norliza Abdul Rahim. (Gambar Facebook Mohamad Khaled Nordin)
PETALING JAYA:
Naib Ketua Wanita Umno Norliza Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin dalam kenyataan di Facebook.

“Norliza dilantik sebagai pengerusi PTPTN yang baharu.

“Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan serta swasta,” katanya.

Khaled berkata, dengan pelantikan itu diharap Norliza dapat memperkasa fungsi dan peranan PTPTN bagi mengurus pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pendidikan tinggi dengan strategik dan inovatif.

“Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan,” katanya.

Norliza sebelum ini pernah dilantik sebagai pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) pada November 2021 dan menjadi Ahli Dewan Negara dari 2011 hingga 2017.

Beliau turut mempunyai pengalaman luas dalam menerajui beberapa syarikat milik kerajaan dan swasta yang tersenarai di bursa merangkumi bidang hartanah, perkapalan dan universiti awam serta koperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.