PAU 2025: Umno tak halang bangkit isu keluar kerajaan, kerjasama PAS

PAU 2025: Umno tak halang bangkit isu keluar kerajaan, kerjasama PAS

Asyraf Wajdi berkata tiada usul diterima berkait gesaan Umno keluar kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki berkata usul paling banyak diterima membabitkan pengampunan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak yang kini berdepan hukuman penjara.
KUALA LUMPUR:
Umno tidak menghalang perwakilan membangkitkan isu keluar kerajaan perpaduan dan kerjasama dengan PAS pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 minggu depan.

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata perwakilan boleh menyentuh mengenai isu itu walaupun tidak ada satu pun daripada keseluruhan 662 usul yang diterima Ibu Pejabat Umno menyentuh isu berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 104 usul diterima membabitkan pengampunan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak yang kini berdepan hukuman penjara atas kesalahan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Asyra berkata, Umno tidak pernah menghalang sebarang isu untuk dibangkitkan memandangkan PAU menjadi medan untuk pemimpin mendengar suara ahli akar umbi.

“Usul kalau secara rasmi yang dihantar tidak ada satu pun yang membawakan usul untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan, begitu juga usul kerjasama dengan parti lain termasuk PAS.

“Tetapi seperti biasa kita tidak pernah menghalang jurucakap negeri dan sayap,” katanya yang tidak menolak isu itu akan dibangkitkan.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas menjelang PAU2025 yang akan berlangsung dari 14 hingga 17 Jan depan.

Gesaan supaya Umno keluar kerajaan perpaduan dan kerjasama dengan PAS dibangkitkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal pada konvensyen khas sayap itu pada 3 Jan lalu.

Bagaimanapun, Presiden Zahid Hamidi menegaskan Umno kekal dalam kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Dalam perkembangan sama, Asyraf turut memaklumkan tiada parti dalam kerajaan perpaduan dijemput ke PAU kecuali parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Tak jemput sebab mahu fokus kepada dalaman parti supaya perwakilan dapat bercakap secara terbuka,” katanya sambil memaklumkan wakil MCA dan MIC sudah mengesahkan kehadiran.

Pada PAU 2023, Umno menjemput rakan parti dalam kerajaan perpaduan dan dihadiri Anwar yang pernah menjadi timbalan presiden parti itu sebelum dipecat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.