Bergaduh akibat mabuk, 4 lelaki ditahan

Bergaduh akibat mabuk, 4 lelaki ditahan

Polis berkata semua suspek yang direman empat hari itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Empat suspek yang ditahan kerana bergaduh di luar sebuah pusat hiburan di Kulai semalam.
PETALING JAYA:
Empat lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Jalan Kiambang 12 Indahpura di Kulai, Johor, semalam.

Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow, berkata seorang wanita tempatan berusia 21 tahun membuat laporan pada 3 pagi semalam mendakwa ketika minum bersama empat rakannya, mereka didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba menampar muka rakannya.

Katanya, pengadu mendakwa dua kereta dinaiki 11 individu menyusul, termasuk seorang wanita yang memukul rakan-rakannya menyebabkan mereka cedera di kepala, tangan dan kaki.

“Bertindak atas maklumat itu, dalam tempoh 24 jam kira-kira 11.20 malam tadi, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 28 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu menerusi satu serbuan di sebuah kedai makan di Jalan Iris 8,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan mabuk dan perselisihan faham, dengan semua suspek ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, semua suspek direman empat hari hingga Ahad ini untuk disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.