Orang Asli dilapor hilang diserang harimau ketika memancing

Orang Asli dilapor hilang diserang harimau ketika memancing

Mangsa Halim Asin, 27, dilaporkan diserang seekor harimau ketika memancing di hulu Sungai Aring di Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki Orang Asli itu yang dipercayai akibat diserang harimau.
GUA MUSANG:
Seorang lelaki Orang Asli dari suku kaum Bateq dilaporkan hilang dikhuatiri akibat diserang harimau ketika memancing di hulu Sungai Aring di Kampung Aring 5, di sini, semalam.

Ketika kejadian mangsa Halim Asin, 27, sedang memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang yang berusia lapan tahun.

Bapa Alang, Kuang Camang, 31, berkata anaknya mendakwa ketika memancing mereka diserang seekor harimau.

“Anak saya yang terkejut terus terjun ke dalam sungai dan berenang menyelamatkan diri sebelum menceritakan kejadian itu kepada kami yang berada kira-kira 500m dari lokasi kejadian.

“Kami sempat meninjau di tempat kejadian tetapi tidak menemui adik ipar saya di kawasan itu,” katanya.

Terdahulu, Kuang bersama tujuh ahli keluarganya termasuk mangsa dalam perjalanan dari Kampung Cangkung, Jerantut, Pahang untuk pulang ke Kampung Aring 5 dengan berjalan kaki dan singgah berehat di sungai berkenaan.

“Sebelum Ramadan lalu kami ke Kampung Cangkung dan tinggal di sana selama sebulan. Kami mula berjalan kaki untuk pulang ke Kampung Aring 5 pada Sabtu lalu.

“Pada 11 pagi semalam, saya, isteri, empat orang anak, Halim dan bapanya sampai di Sungai Aring dan membuat khemah di pinggir sungai untuk bermalam kerana ingin menangkap ikan,” katanya.

Kuang berkata walaupun berada dalam keadaan ketakutan mereka tetap meneruskan perjalanan pulang ke Kampung Aring 5 dan terus melaporkan insiden terbabit kepada penghulu dan penduduk sejurus tiba di kampung itu.

Sementara itu, Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki suku kaum Bateq itu pada 10 malam tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat oleh anggota keselamatan telah dilancarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.