Lelaki persenda salam direman 4 hari

Lelaki persenda salam direman 4 hari

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di Wangsa Maju semalam.

Polis berkata lelaki itu ditahan susulan satu video tular mempersendakan ucapan salam di media sosial.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki direman empat hari selepas dipercayai menghina Islam susulan satu rakaman video yang mempersenda ucapan salam tular di media sosial.

Setiausaha Polis, Norsiah Mohd Saaduddin, berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di Wangsa Maju semalam dan direman bermula hari ini.

“Polis turut merampas dua telefon bimbit dan tiga keping kad sim milik suspek.

“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kemudahan tidak wajar perkhidmatan rangkaian.

Dalam perkembangan berasingan, Norsiah berkata, sejak pasukan petugas khas ditubuhkan polis pada 22 Mac lalu untuk menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R) sebanyak 18 kertas siasatan dibuka dengan 12 individu ditahan.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan mempersenda yang boleh menimbulkan kemarahan dan rasa benci, mencetuskan ketidakharmonian dan perpaduan kaum, bangsa, agama bahkah boleh menyentuh sensitiviti sistem beraja.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.