
Mangsa dipercayai tinggal bersama suspek di sebuah stor besi buruk di sekitar Banting sejak dilarikan Julai tahun lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata hasil risikan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah kampung di Banting sebelum berjaya menemui mangsa di daerah sama.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai suspek yang bercinta dengan mangsa sejak 2014 mengesyaki gadis itu mempunyai teman lelaki lain.
“Mangsa dipercayai memang mengikut suspek, namun kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa di bawah umur dan berusia 17 tahun,” katanya menurut Harian Metro.
Fakhrudin berkata, sepanjang dilaporkan hilang, mangsa tidak pernah menghubungi keluarganya di Desa Mentari, Petaling Jaya, dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti jika berlaku perlakuan seksual.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai besi buruk tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Katanya, suspek direman dua hari sejak semalam untuk membantu siasatan yang turut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.