
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan, berkata keputusan membabitkan produk “Mi Kari Putih Penang Ah Lai” dan “Indomie Perisa Ayam Spesial” itu dibuat selepas ia mematuhi perundangan ditetapkan.
“Berdasarkan analisa makmal yang dijalankan ke atas sampel Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Mi Segera Perisa Ayam Special jenama Indomie, KKM mengesahkan bahawa produk tersebut mematuhi perundangan ditetapkan dan selamat untuk dimakan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, KKM mengeluarkan arahan penarikan balik produk secara sukarela terhadap dua produk “Mi Kari Putih Penang Ah Lai” dan “Indomie Perisa Ayam Spesial” yang mendakwa ia mengandungi bahan penyebab kanser.
Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan bagi produk makanan diimport, KKM melaksanakan enam tahap pemeriksaan di pintu masuk berdasarkan risiko dan hanya produk mematuhi standard sahaja dilepaskan untuk pasaran Malaysia.
“Bagi tempoh 2022 hingga April 2023, sejumlah 317 pensampelan bagi tujuan Uji dan Lepas (TUL) telah dijalankan dan daripada jumlah tersebut, 37 (11.67%) merupakan pensampelan TUL ke atas produk mi segera pelbagai jenama bagi parameter ethylene oxide.
“Bagi mana-mana produk yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, KKM bekerjasama dengan syarikat yang terbabit untuk memastikan semua produk yang terlibat ditarik balik daripada pasaran,” katanya.