
Ketua Polis Sibu, Zulkipli Suhaili, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 3.15 petang yang mengatakan seorang lelaki pengsan di dalam hutan Jalan Paradom/Tanjung Genting Bintangor.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 52 tahun bersama-sama beberapa orang rakan sekerjanya bertugas menyelenggara pencawang elektrik di kawasan kejadian.
“Menurut saksi, ketika kejadian cuaca panas terik dan mangsa masuk berendam ke dalam sungai berhampiran pencawang elektrik berkenaan.
“Apabila keluar dari sungai, mangsa mengadu seakan-akan mahu pitam dan terus pengsan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Zulkipli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 4.59 petang oleh paramedik dari Hospital Sibu.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.