Cuaca panas: Apa yang penjaga perlu tahu

Cuaca panas: Apa yang penjaga perlu tahu

Kanak-kanak kecil, orang tua dan mereka yang mempunyai keadaan kesihatan sedia ada atau kurang upaya amat berisiko.

Gelombang panas di Malaysia dijangka berlarutan sehingga Julai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peningkatan suhu mula dirasai di seluruh negara, dan pegawai kesihatan serta pendidikan kini menyeru orang ramai lebih berjaga-jaga ketika gelombang panas dijangka berlarutan sehingga Julai.

Kementerian Kesihatan berkata terdapat beberapa kes penyakit berkaitan cuaca panas termasuk kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Kelantan bulan lepas akibat strok haba dan dehidrasi teruk.

FMT bercakap dengan doktor tentang perkara yang perlu diketahui oleh ibu bapa dan penjaga, serta apa yang boleh dilakukan jika anak mereka menunjukkan simptom.

Keadaan kesihatan sedia ada

Sebarang keadaan boleh mempengaruhi tahap keterukan jika terjejas oleh haba, tetapi juga menyebabkan kekeliruan jika terdapat gejala sedia ada.

Pada 1 Mei, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun meninggal dunia di Kluang, Johor, kemudian disahkan sebagai ‘secondary septic shock’ selepas dikhuatiri dia mengalami strok haba.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata keadaan seperti sepsis boleh menunjukkan simptom yang sama seperti yang disebabkan oleh strok haba. Demam panas adalah antara simptom tersebut.

Dia berkata walaupun kematian budak lelaki itu bukan kerana strok haba, penyakitnya bertambah teruk dengan cuaca panas.

Siapa yang paling berisiko

Sharifa Ezat berkata mereka yang menghidap penyakit pernafasan atau jantung dan kurang upaya seperti Sindrom Down mempunyai risiko lebih tinggi, begitu juga kanak-kanak kecil dan orang tua, yang “mungkin tidak dapat bercakap atau menyampaikan mesej dengan betul” menyebabkan gejala mereka tidak diberi perhatian.

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia Dr Selva Kumar bersetuju bahawa populasi geriatrik, terutamanya mereka yang berada di institusi penjagaan, lebih berkemungkinan mengalami strok haba.

Apa yang perlu diberi perhatian

Sharifa Ezat berkata ibu bapa dan penjaga perlu berwaspada terhadap gejala seperti kurang selera makan, sakit tekak, cirit dan suhu badan tinggi.

“Jika suhu mereka melebihi 37.5 Celsius untuk tempoh yang berterusan dan terus meningkat, maka anda harus mendapatkan bantuan profesional.”

Beliau berkata adalah penting bagi kumpulan yang terdedah untuk kekal terhidrat tetapi elakkan minuman manis dan kafein, kerana ini akan menyebabkan seseorang lebih banyak membuang air kecil dan seterusnya badan mengalami dehidrasi.

“Gunakan span air sejuk pada kanak-kanak untuk menurunkan suhu mereka,” katanya.

Respons Putrajaya setakat ini

Pada 28 April, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Jemaah Menteri perlu membincangkan sama ada perlu melanjutkan cuti sekolah berikutan gelombang panas yang berlaku.

Pada 5 Mei lalu, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua aktiviti luar termasuk larian merentas desa dihentikan, lapor Utusan Malaysia. “Kami mahu pengajaran dijalankan sepenuhnya di dalam bilik darjah,” kata Menteri Fadhlina Sidek yang dipetik dalam laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.