9 termasuk warga asing ditahan, polis rampas dadah RM274,482

9 termasuk warga asing ditahan, polis rampas dadah RM274,482

Polis melancarkan operasi terancang sebelum menjalankan serbuan dan berjaya menumpaskan sindiket itu yang didalangi warga asing.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan sembilan individu termasuk enam warga asing dalam siri serbuan di sekitar negeri itu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM274,482 pada 2 hingga 6 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis melancarkan operasi terancang sebelum menjalankan serbuan dan berjaya menumpaskan sindiket itu yang didalangi warga asing.

“Polis pada mulanya menyerbu sebuah rumah di kawasan George Town, di sini pada 2.30 petang 2 Mei lepas dan menahan sepasang suami isteri iaitu lelaki warga tempatan dan isterinya warga Vietnam masing-masing berumur 32 dan 34 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu, polis merampas 613.30g methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), ketamin (10.8g), syabu (1.59g), 30 biji pil ekstasi dan 100 biji pil Erimin 5 yang semuanya bernilai RM9,198,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Air Itam, hari sama iaitu pada 6 petang dan menahan sepasang suami isteri warga Vietnam berumur 40 dan 42 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah di situ.

Shuhaily berkata, antara dadah yang dirampas ialah 490 biji pil ekstasi, pil Erimin 5 sebanyak 240 biji, syabu (421.89g) dan ketamin seberat 48.12g yang semuanya bernilai RM104,296.

Katanya, polis seterusnya menyerbu sebuah kedai mencuci kenderaan di Permatang Pauh, dan menahan tiga lelaki warga Myanmar berumur 22 hingga 26 tahun dan merampas 45 peket lutsinar seberat 47,000g di dalam stor di situ yang bernilai RM146,000 pada 5.05 petang 5 Mei.

“Tiga lelaki itu selain bekerja di situ mereka juga dipercayai berperanan menyimpan bekalan dadah milik sindiket tersebut sebelum mengedarnya untuk pasaran di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya.

Beliau berkata ekoran penahanan mereka, polis kemudian menahan dua lelaki tempatan berumur 34 dan 46 tahun secara berasingan di Perai dan Butterworth pada 2 pagi 6 Mei dan merampas heroin 1,812g yang bernilai RM14,988 daripada mereka.

Katanya, susulan penahanan tiga lelaki tempatan dan empat lelaki bersama dua wanita warga asing itu, polis turut menyita wang tunai, motosikal, kereta dan barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM96,324.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lepas dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah semua dadah itu boleh digunakan oleh 99,235 penagih.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah dan semakan rekod lampau pula menunjukkan empat daripada semua suspek terdapat kes jenayah dan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.