
Ketua Polis Narathiwat, Anuruth Imarb, berkata semua dadah itu dibawa masuk dari utara Thailand, iaitu di Segi Tiga Emas (Thailand, Laos dan Myanmar) melalui sindiket dadah, sebelum tiba di sempadan wilayah selatan di sini.
Beliau berkata, kerajaan Thailand amat bimbang dengan keadaan itu, apatah lagi Narathiwat adalah wilayah serta lokasi mudah untuk pengedaran dadah, khususnya ke Malaysia kerana bersempadan dengan Kelantan.
“Rampasan terbesar dilakukan di Sungai Golok pada 2 Julai 2020 dan 10 Ogos lepas melibatkan 2,000kg dadah bernilai 200 juta baht (RM26.3 juta).
“Siasatan mendapati kebanyakan pengedar ini bermula sebagai penagih. Kita juga mendapati suspek ditahan akan memberitahu ketua terbesar mereka berasal dari Songkhla,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Anuruth berkata, sindiket dadah juga dikatakan mengupah kumpulan tertentu mencetuskan kekecohan, termasuk menyasarkan pasukan keselamatan dan kawasan awam.