Nelayan P Pinang tolak dakwaan tiada ikan, udang di tapak PSI

Nelayan P Pinang tolak dakwaan tiada ikan, udang di tapak PSI

Mereka berkata, bahkan nelayan dari Kedah dan Perak datang ke pantai selatan Pulau Pinang untuk menangkap ikan dan udang.

Nelayan di selatan Pulau Pinang bimbang mata pencarian terjejas susulan projek penambakan mega PSI di kawasan mereka.
BAYAN LEPAS:
Beberapa nelayan menolak dakwaan kawasan penambakan untuk projek mega Pulau Pinang Selatan (PSI) tidak mempunyai ikan dan udang.

Nelayan yang ditemui FMT berkata, terdapat banyak ikan dan udang di perairan Bayan Lepas sehingga nelayan dari Kedah dan Perak datang menangkap ikan di perairan itu.

Exco negeri, Zairil Khir Johari sebelum ini dikritik kerana mendakwa tapak projek itu bukan “tempat pembiakan ikan” dan “pada dasarnya ia perairan cetek dan berlumpur”.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula dilaporkan memetik kajian Jabatan Perikanan dan berkata, nelayan tidak menangkap ikan di sekitar kawasan itu.

Aril Shahril.

Bagaimanapun, nelayan, Aril Shahril memberitahu FMT, dia menangkap ikan yang nilainya kira-kira RM800 sehari.

“Ramai (nelayan) marah kerana mereka yang berkata demikian bukan nelayan. Adakah mereka tahu berapa banyak pendapatan nelayan di sini? Kami ada rekod untuk membuktikan jumlah pendapatan kami.”

Seorang lagi nelayan, Roziman Ibrahim berkata, ikan kembung boleh didapati dengan banyak di kawasan sekitar Pulau Rimau, Pulau Kendi dan Pulau Betong.

Azhar Najamuddin berkata, kehadiran bot pukat tunda di kawasan itu bukti terdapat banyak ikan dan udang.

“Jika tidak ada (ikan), bagaimana anda boleh lihat banyak bot di sekitar sini?” katanya kepada FMT.

Nelayan antara kumpulan paling lantang membantah projek PSI membabitkan penambakan besar-besaran lebih 17km persegi bagi membina tiga pulau buatan. Pembangunan komersial dan hartanah di tiga pulau itu akan digunakan untuk membiayai lebuh raya baharu dan sistem transit di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Ahmad Rumli Sharif dan Amin Omar antara nelayan yang bimbang pendapatan mereka akan terjejas, seperti nasib menimpa nelayan di Tanjung Tokong ketika projek penambakan dijalankan pada 2006.

Fajinah Jaafar.

Penduduk Balik Pulau, Fajinah Jaafar yang menyokong PSI, tidak percaya projek itu akan menjejaskan sektor perikanan di kawasan itu.

Katanya, PSI turut merangkumi kawasan bakau luas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan baharu untuk ikan, udang dan ketam diwujudkan.

“Dulu, saya bantah pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang. Kini, orang ramai berpusu-pusu ke tiang jambatan kerana pelbagai ikan boleh ditemui di sana, termasuk kerapu dan jenahak,” kata pemancing itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.