
Johari berkata, pemaju projek di Kampung Baru di sini telah datang berjumpanya memandangkan kira-kira 5% penduduk masih belum berpindah dari unit mereka.
“Ini telah menimbulkan cabaran kepada pemaju. Mereka mahu penduduk yang tinggal untuk berpindah dan meminta saya membantu kerana sudah lima tahun (sejak majoritinya sudah berpindah).
“Sebanyak 95 peratus penduduk sudah pindah. Jadi, cuma lima peratus belum pindah. Pemaju yang memindahkan mereka ini sudah datang berjumpa saya, merayu dan meminta tolong macam mana nak mulakan kerja. Sebabnya, mereka tak larat bayar sewa sudah lima tahun,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya di Kampung Baru.
“Saya menyarankan masalah lima peratus iaitu membabitkan isu pampasan boleh diselesaikan di mahkamah, tapi sebahagian besar sudah pindah ini mahukan rumah mereka.”
Ketika proses pembangunan pertama kali dicadangkan pemaju, Johari ada memberi amaran mengenai potensi kerumitan akan berbangkit.
Johari menggesa kerajaan campur tangan memandangkan 95% penduduk telah menerima pampasan dan berpindah. Beliau berkata, ia juga bagi mengelakkan situasi di mana pemaju boleh bankrap.
Kampung Sungai Baru terdiri daripada 264 unit rumah pangsa dan 64 rumah teres di atas tanah seluas 5.23 hektar.
Pemilik rumah pangsa dan rumah akan diberi unit ganti dalam projek pembangunan pangsapuri itu.
Projek itu bermula pada 2016 namun terbantut kerana sebilangan penduduk enggan memberi kerjasama, mendorong pemaju menggunakan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 2021 untuk mengarahkan mereka mengosongkannya.
Disember lalu, ketua pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur mengeluarkan notis pengusiran kepada pemilik tanah Kampung Sungai Baru yang memegang pajakan selama 99 tahun walaupun kebanyakan tempoh pajakan masih berbaki 57 tahun.