Anwar umum dana tambahan pembangunan RM1 bilion untuk Negeri Sembilan

Anwar umum dana tambahan pembangunan RM1 bilion untuk Negeri Sembilan

Perdana menteri berkata, jumlah peruntukan yang diberikan Putrajaya kepada Negeri Sembilan kini meningkat kepada RM1.27 bilion.

Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Seremban hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana menteri mengumumkan dana tambahan RM1 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur di Negeri Sembilan.

Berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Seremban, Anwar Ibrahim berkata, keseluruhan peruntukan pembangunan yang disediakan Putrajaya untuk negeri itu meningkat daripada RM200 juta kepada RM1.27 bilion.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk membina jalan dan jambatan baharu, infrastruktur pendidikan, rumah ibadat dan menaiktaraf klinik kesihatan daif.

Antara projek baharu itu termasuk jalan susur tol baharu dari Seremban ke Lingkaran Tengah Seremban pada kos RM600 juta.

Anwar berkata, projek lain ialah pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang menghubungkan Bukit Pelanduk di Port Dickson ke Sungai Pelek di Sepang yang berharga RM160 juta.

Katanya, klinik kesihatan daif di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau, Seremban dan Tampin juga akan dibaik pulih dengan anggaran kos RM5.8 juta, selain pembinaan fasiliti Kementerian Pendidikan dengan kos RM280 juta, termasuk sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas.

Ini adalah Rumah Terbuka Malaysia Madani ketiga yang dihadiri Anwar, selepas Pulau Pinang semalam dan Kedah Sabtu lalu.

Anwar dijadualkan akan menghadiri tiga lagi rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu serta Selangor pada Jumaat, Sabtu dan Ahad depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.