3 bulan tak balik rumah, polis jejak pelajar perempuan hilang

3 bulan tak balik rumah, polis jejak pelajar perempuan hilang

Pelajar berusia 16 tahun itu kali terakhir dilihat memakai pakaian seragam sekolah, pada 3 Feb lalu.

N Daarshini, 16, dilaporkan masih tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan, sejak 3 Feb lalu. (Gambar Twitter PDRM )
PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan pelajar perempuan N Daarshini, 16, yang dilaporkan masih tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan, sejak 3 Feb lalu.

Ketua Polis Hilir Perak Ahmad Adnan Basri, berkata remaja berkenaan kali terakhir dilihat memakai pakaian seragam sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang pada hari beliau dilaporkan hilang.

“Pada 4 Feb pihak polis Hilir Perak telah menerima laporan berhubung kejadian kehilangan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun.

“Siasatan awal mendapati pada 3 Feb lalu, remaja tersebut telah datang ke sekolah mengikut pintu belakang dan kemudiannya terus keluar ikut pintu hadapan sekolah dan tidak pulang ke rumahnya selepas itu,” katanya menurut Bernama.

Adnan berkata, susulan laporan polis dibuat ibu remaja tersebut, polis telah mengedarkan semboyan orang hilang termasuk gambar mangsa ke seluruh balai polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa boleh menghubungi IPD Hilir Perak di talian 05-6299222 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Noor Aisyah Mat Isa di talian 011-16338463,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.