PN mampu menang 33 kerusi DUN Selangor, kata Azmin

PN mampu menang 33 kerusi DUN Selangor, kata Azmin

Pengerusi PN Selangor berkata, ia susulan penelitian pada PRU15 di mana PN memenangi 14 kerusi Parlimen di Selangor.

Azmin Ali berkata, pembahagian kerusi PN untuk PRN Selangor hampir selesai.
GOMBAK:
Perikatan Nasional (PN) yakin mampu memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Selangor akan datang, kata Pengerusi PN negeri, Azmin Ali.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan hasil penelitian pihaknya pada PRU15, di mana PN memenangi 14 kerusi Parlimen di Selangor, manakala sembilan kerusi tewas dengan majoriti kurang 5,000 undi.

“Kita hanya perlukan 1,000 hingga 2,000 undi sokongan dan dengan situasi semasa, saya yakin kerusi ini boleh ditawan PN.

“Ini menjadikan jumlah dalam tangan 23 kerusi (DUN di bawah 14 kerusi Parlimen yang dimenangi PN). Maknanya, untuk mencapai 30 atau lebih kerusi, satu perkara yang boleh diusahakan dan itu antara hasrat kita,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Gombak Setia.

Minggu lalu, Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dilaporkan berkata, PN menyasarkan menang 33 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Selangor.

Jika sasaran itu dicapai, katanya, gabungan PAS dan Bersatu mampu membentuk kerajaan baharu di negeri itu.

Sementara itu, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor berkata, pembahagian kerusi PN untuk PRN Selangor hampir selesai dan ia akan dikemukakan kepada pimpinan pusat untuk dimuktamadkan.

Mengenai kehadiran bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar pada majlis hari ini, katanya, PN sentiasa membuka pintu kepada mana-mana tokoh politik, termasuk bekas pemimpin Umno untuk menyertai gabungan itu.

“Dalam suasana politik semasa, kita perlukan dokongan semua pihak dan saya percaya Noh mempunyai pengalaman begitu panjang dalam perjuangan (ketika) dia berada dalam Umno.

“Beliau antara tokoh yang berani menegur kepincangan dan kecurangan dalam Umno dan apa langkah seterusnya, kita serahkan kepada Noh dan bersedia menerima mana-mana individu yang ingin bersama PN.”

Noh bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau akan menyertai PN.

Pada 30 April lalu, Berita Harian melaporkan Noh mengesahkan akan bertanding di bawah tiket PN pada PRN Selangor, tetapi tidak menyatakan beliau mewakili parti mana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.