
Beliau mengulas khabar angin kerajaan Perak akan bertukar Julai ini, susulan dakwaan empat Adun dalam kerajaan perpaduan akan meletak jawatan.
Saarani berkata, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jika ada kerusi dikosongkan.
“Apabila empat kerusi DUN diisytihar kosong dan perlu pilihan raya semula, saya akan letak balik empat calon daripada gabungan BN-PH.
“Ada kemungkinan juga saya (BN-PH) menang semula di dua daripada empat kerusi kosong terbabit, maka dengan itu, kita balik jadi kerajaan semula. Jadi, buat apa buat kerja bodoh macam itu (letak jawatan)? Lebih baik kekal (kerajaan semasa).
“Kalau (memang) ada empat (Adun) kerajaan yang terkesima atau teruja dengan mana-mana tawaran, fikirlah banyak kali, sebab apabila kamu lompat parti, maka kamu gugur sebagai Adun dan sudah tidak boleh bertanding lagi.
“Elok-elok dapat elaun RM11,000 sebulan sebagai Adun, kemudian letak jawatan. Kena cerdiklah…kita sebagai orang politik, jangan mudah-mudah termakan ya (tawaran),” katanya menurut Harian Metro.
Saarani mengaku tahu desas-desus ada pihak mahu menggulingkan kerajaan Perak sejak tiga minggu lalu, tetapi tegasnya perkara itu tidak mungkin berlaku.
Beliau turut mengesahkan tiada wakil rakyat yang “tertarik” untuk berpaling tadah selepas menemui lapan Adun BN.
“Jadi insya Allah kerajaan ini akan kukuh sehingga tamat tempoh,” katanya.
Terdapat 59 kerusi DUN di Perak, di mana Perikatan Nasional memenangi 26 kerusi, tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi.
PH pula mempunyai 24 kerusi dan BN sembilan.