Pengawal keselamatan maut tertimbus akibat tanah runtuh di Wisma YPR

Pengawal keselamatan maut tertimbus akibat tanah runtuh di Wisma YPR

Mayat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditemukan pada 6.23 pagi tadi.

Beberapa anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Wisma YPR, pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan disahkan maut selepas tertimbus akibat insiden tanah runtuh di Wisma YPR, Jalan Syed Putra Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, mayat mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditemukan pada 6.23 pagi tadi.

“Runtuhan batu penahan tebing telah menghempap pondok pengawal ketika mangsa berada di dalam sekaligus menyebabkan mangsa tertimbus.

“Pencarian mangsa dilakukan pasukan Bomba dengan bantuan unit K9, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan jentolak daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mangsa berjaya dibawa keluar pada 6.23 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik. Mayat kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Komander Operasi Mohd Rizuan Razali berkata, bomba bergegas ke lokasi kejadian pada 1.05 pagi selepas menerima laporan dan didapati berlaku runtuhan tanah dan menghempap sebuah pondok pengawal yang berada berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.