
“Tidak cukup keterangan bagi membuktikan wujud niat untuk dikenakan tuduhan kerana membunuh,” katanya dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Semalam, bapa tiri kepada kanak-kanak itu, S Nagendran, dan ibunya, A Sangeetha, masing-masing berusia 23 tahun, mengaku salah mendera mangsa di sebuah pangsapuri di Skudai, Johor.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Kamal Ariffin Ismail menetapkan 7 Jun untuk mendengar fakta kes sebelum memutuskan hukuman.
Peguam KA Ramu berkata, timbul risiko pasangan itu boleh dibebaskan sekiranya tuduhan membunuh dikenakan, yang membawa hukuman mati, sekiranya tuduhan itu diutamakan.
“Pihak pendakwaan mungkin tidak mempunyai keterangan kukuh untuk membuktikan semua yang diperlukan bagi tuduhan membunuh. Mereka mungkin memilih kesalahan lebih ringan yang mana cukup bagi sabitan,” katanya.
Dalam kes pembunuhan, pihak pendakwaan mesti membuktikan melampaui keraguan munasabah berlakunya perbuatan jenayah, dirujuk sebagai “actus reus”, oleh seseorang yang mempunyai niat jenayah, dirujuk sebagai “mens rea”.
Ramu berkata, kesalahan mendera kanak-kanak boleh dibuktikan berdasarkan kandungan laporan bedah siasat, yang mana akan menunjukkan kecederaan dialami kanak-kanak itu akibat penderaan fizikal.
Walaupun pasangan itu dikenakan tuduhan kerana membunuh juga, beliau berkata, ada kemungkinan mahkamah akan mengurangkan pertuduhan kepada mendera di akhir kes pendakwaan.
“Keputusan pendakwaan menjimatkan masa mahkamah dan sumber kerana tidak memerlukan perbicaraan panjang,” katanya.
Dilaporkan sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, dipetik sebagai berkata kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba untuk rawatan.