
Timbalan Ketua Polis Kuala Pilah, Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dan giat memburu suspek.
Katanya, dalam kejadian 11.30 pagi yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV), memaparkan terdapat dua kenderaan digunakan suspek ketika kejadian dan nombor pendaftarannya juga berjaya direkodkan.
“Bilik gerakan IPD Kuala Pilah menerima panggilan telefon daripada pekerja sebuah kedai emas di Jalan Undang Johol, 11.30 pagi semalam.
“Individu itu melaporkan dua pengedar emas disamun di lorong belakang kedai berkenaan. Mangsa dikatakan membawa emas seberat 7kg yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta,” katanya menurut Harian Metro.
Syahrul berkata, siasatan awal polis mendapati dua suspek memakai topeng, bersenjatakan parang panjang dan menaiki dua kereta.
Katanya, suspek menaiki dua kereta masing-masing jenis Toyota Camry berwarna putih, nombor pendaftaran BKK 9169 dan Toyota Corolla Altis berwarna perak, nombor pendaftaran BLJ 328.
“Justeru, kami giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek. Kami memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, boleh menghubungi talian hotline IPD Kuala Pilah 06 4842999 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan, dua pengedar emas dirompak dua lelaki bertopeng yang melarikan dua beg berisi 7kg emas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat Jalan Pasar Rabu.