
Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa (Fiabci) Malaysia Firdaus Musa berkata, disebabkan syarat disemak semula dan perubahan dalam peraturan MM2H, lebih 90% individu kaya menolak menjadikan Malaysia rumah kedua mereka.
“Malaysia sebuah negara yang cantik dan Pulau Pinang, Johor serta Kuala Lumpur menjadi tarikan utama kepada warga asing untuk tinggal dan membelanjakan wang mereka di sini, sekali gus memacu ekonomi tempatan.”
Katanya, mengembalikan program itu kepada Motac tidak bermakna keselamatan negara akan terjejas, sebaliknya banyak isu dapat diselesaikan.
“Dalam jangka panjang, kemasukan individu kaya ke Malaysia akan membantu meningkatkan hasil kerajaan, terutamanya dari segi kutipan cukai.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Motac serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan peserta program mematuhi peraturan,” katanya kepada Bernama.
Program MM2H kini bawah naungan KDN.
Firdaus berkata, negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia giat mempromosikan visa pelbagai kemasukan dan menginap lama yang membuktikan program sedemikian membawa manfaat ekonomi negara.
Sebelum ini, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin menggesa KDN segera mengkaji semula syarat baharu MM2H agar ia seiring perubahan keperluan ekonomi.
Sejak syarat ketat itu diperkenalkan pada 2021, katanya, Persatuan Perunding MM2H mendapati jumlah pemohon MM2H menurun 90%.
Antara syarat disemak semula pada 2021 itu mengkehendaki pemohon mempunyai akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta (sebelum ini RM300,000), aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta (sebelum ini RM500,000) dan pendapatan bulanan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 dahulu.