
Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan bagi semua pihak mengemukakan hujahan sama ada mereka bersetuju dengan penyelesaian atau perlu dibicarakan dengan tuntutan tersebut.
Menurut Kosmo, prosiding berlangsung tertutup dan hanya dihadiri keluarga plaintif dan defendan.
Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili seorang daripada defendan iaitu ibu Jamaludin, Aminah Abdullah berkata, beberapa perkara telah dibangkitkan kedua-dua pihak.
“Belum ada penyelesaian muktamad. Jadi pihak-pihak diberikan peluang berbincang sebelum 16 Ogos untuk penyelesaian. Ada perkara capai kata sepakat, ada perkara belum dapat penyelesaian kerana wujud perkara dipertikaikan oleh kedua-dua pihak.
“Maka, semua pihak diminta mengemukakan hujahan (berhubung penyelesaian) sebelum tarikh sebutan,” menurut laporan itu.
Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.
Pada 28 Ogos lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat (AS) dibuang dalam pernyataan tuntutan.
Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas duta besar Malaysia ke AS, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter dinaiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Turut maut, juruterbangnya Clifford William Fournier, ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias, ahli perniagaan Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.