
Mangsa berusia 24 tahun berasal dari Kulim, Kedah, dipercayai tergelincir ketika cuba memanjat ke dalam kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal di dalamnya.
Ketua Polis Padang Besar, Mohd Shokri Abdullah, berkata panggilan kecemasan diterima kira-kira 3 petang.
“Menurut saksi yang berada di sekitar tempat kejadian, mereka terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh sebelum melihat mangsa terbaring serta berlumuran darah di lantai aras bawah bangunan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa ditemui orang ramai dalam keadaan sedar, tetapi tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar dan kini dalam keadaan stabil.
Shokri berkata, keterangan beberapa saksi diambil bagi membantu siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Katanya, punca kejadian masih disiasat dan saksi lain yang berada di tempat kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Mohd Izham Aziz di talian 017 5387986.