Noh Omar hanya akan beri impak kecil kepada PN, kata penganalisis

Noh Omar hanya akan beri impak kecil kepada PN, kata penganalisis

Bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar akan bertanding bawah tiket PN pada PRN Selangor.

Bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal, tetapi beliau tidak dicalonkan pada PRU15 pada November lalu.
PETALING JAYA:
Pemerhati politik meragui kemampuan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar untuk menyumbang secara signifikan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN Selangor.

Penganalisis politik, Lau Zhe Wei, berkata mana-mana ahli politik akan mempunyai peluang besar untuk menang bawah PN, jika pengundi menyenangi bekas gabungan pemerintah itu.

“Pengundi Melayu masih suka mengundi berdasarkan parti, bukannya bergantung kepada calon,” kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Jika Noh menang, katanya, ia disebabkan pengundi menyokong PN, tidak semestinya kerana bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal itu.

Lau Zhe Wei.

Beliau berkata, ini terbukti berdasarkan prestasi ramai pemimpin Umno, khasnya Dr Mahathir Mohamad, yang tidak baik selepas meninggalkan parti.

Noh, yang bersama Umno selama 30 tahun, digugurkan Barisan Nasional untuk memberi laluan kepada Ketua Wanita Umno Tanjong Karang, Habibah Yusof dalam PRU15 November lalu, tetapi beliau tewas kepada calon PN, Zulkafperi Hanapi.

Noh kemudian dipecat Umno kerana melanggar disiplin parti.

Ahad lalu, Berita Harian melaporkan Noh mengesahkan dirinya akan bertanding bawah tiket PN pada PRN Selangor, tetapi beliau tidak menyatakan akan mewakili parti mana.

Izani Mohd Zain.

Seorang lagi penganalisis politik, Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia percaya keputusan Noh bertanding bawah PN sebahagian besarnya didorong kekecewaannya terhadap Umno.

Katanya, walaupun penyokong setianya dan pengundi PN akan mengundi beliau, tetapi Noh dianggap “tidak relevan” dalam politik Selangor.

“Walaupun ketika mengetuai Umno Selangor, beliau gagal memberi kemenangan di negeri itu kepada Umno,” katanya sambil menambah ini antara faktor yang akan berlegar dalam fikiran pengundi.

Kartini Aboo Talib.

Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat, penghijrahan Noh ke PN untuk membuktikan Umno membuat kesilapan kerana tidak mencalonkan beliau di Tanjong Karang November lalu.

“Beliau terkenal dalam kalangan penduduk Tanjong Karang, jadi peluang menang di sana tinggi,” katanya sambil menambah penduduk tempatan tidak akan melupakan sumbangannya dalam membangunkan kawasan itu dan menjadikan Tanjong Karang destinasi pelancongan domestik.

Tetapi, katanya, ia cabaran sukar jika PN bergantung kepada Noh untuk merampas Selangor daripada Pakatan Harapan.

“Di luar Tanjong Karang, Noh tidak cukup berpengaruh untuk membantu mengubah undi kepada PN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.