Kematian kanak-kanak di Johor bukan akibat strok haba

Kematian kanak-kanak di Johor bukan akibat strok haba

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata kematian kanak-kanak itu tiada kaitan dengan strok haba seperti dilaporkan media.

Beberapa kawasan di negara ini mengalami gelombang panas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Johor menafikan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kluang semalam disebabkan strok haba.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke wad kerana sawan selepas demam panas sehari sebelum itu dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

“Sebab kematian disahkan sebagai ‘Septic Shock secondary’ to ‘Meningoencephalitis’ dan tiada kaitan dengan strok haba seperti dilaporkan media,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohtar berkata Jabatan Kesihatan Johor memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Terdahulu media melaporkan, seorang lagi kanak-kanak lelaki meninggal dunia di Kluang, dipercayai akibat strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat “septic shock secondary to meningoencephalitis” di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Menurutnya, pada mulanya Airiel dan adik lelaki berusia sembilan tahun serta ibu mereka mengalami demam biasa dan hanya memakan ubat.

Syahrol Azmi berkata, anaknya juga sebelum itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, serta muntah, kira-kira 10 malam Sabtu lalu.

Katanya, doktor turut menjelaskan simptom strok haba dialami anaknya menyebabkan buah pinggangnya terjejas serta keradangan otak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.