
Sanusi berkata, tindakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu seolah-olah mencari publisiti murahan berikutan sejak awal lagi kes berkenaan diuruskan oleh kedua-dua peguam dilantik.
Katanya, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz sebanyak RM120,000 akan diuruskan oleh peguam.
“Semua urusan berkenaan dengan saman, afidavit atau pembelaan semua peguam uruskan, bukan saya berurusan secara terus dengan dia.
“Daripada awal lagi proses ini diurus antara peguam saya dan peguam Mahfuz, daripada bicara kes sampai selesai. Jadi tak betullah kalau tentang bayaran Mahfuz cuba bertindak sendiri,” katanya menurut Harian Metro.
Sanusi yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menasihatkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu agar bersabar kerana proses membabitkan guaman kebiasaannya mengambil masa.
“Nasihat saya sabarlah dan rujuk kepada peguam. Saya akan minta peguam saya uruskan pembayaran dan ia akan diuruskan antara peguam saya (dengan peguam Mahfuz), bukan Sanusi dan Mahfuz,” katanya.
“Saya rasa cara berpolitik seperti itu macam tahun 1960-an, tak sesuailah zaman sekarang orang cerdik menilai,” katanya.
Pada 23 April lalu, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya susulan beliau belum melunaskan tuntutan berkenaan walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.
Rentetan itu, Mahfuz tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 sekiranya tiada sebarang tindakan susulan dibuat oleh Muhammad Sanusi.
Pada 3 April, Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Mahfuz memfailkan saman pada 9 Okt 2019 berdasarkan hantaran dibuat Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.