2 maut kemalangan 3 kenderaan di Lipis

2 maut kemalangan 3 kenderaan di Lipis

Mereka terbunuh ialah kakitangan RTM Mohd Zubairi Abdullah dan Chang Pei Teng, 19 yang juga pemandu lori.

Polis berkata Toyota Wish dipandu Mohd Zubairi Abdullah disyaki terbabas sebelum bertembung lori muatan kelapa di KM18, Jalan Benta-Lipis, Lipis. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara dua maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM18, Jalan Benta-Lipis, Lipis.

Mangsa terbunuh ialah Mohd Zubairi Abdullah, 47, bertugas di RTM dan berasal dari Tumpat, Kelantan manakala seorang lagi terbunuh Chang Pei Teng, 19 yang juga pemandu lori.

Ketua Polis Lipis, Azli Mohd Noor, berkata anak saudara Mohd Zubairi, Nadhratulnaimah Wan Mohammad, 27, guru Tadika beralamat di Machang, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish, parah dan kini dirawat di Hospital Lipis.

Katanya, kemalangan berlaku pada 1.40 tengah hari apabila Toyota Wish dipandu Mohd Zubairi dinaiki lima penumpang dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Siasatan awal mendapati, pemandu Toyota Wish bersama empat anaknya dan seorang anak saudaranya dari arah Lipis menghala ke arah Benta dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Setiba di tempat kejadian, MPV terbabit dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori secara berhadapan.

“Selepas kemalangan, datang sebuah Toyota Hilux dari arah Benta-Lipis merempuh lori dari arah belakang,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, kelindan lori membawa muatan kelapa, Chang Pei Teng, 19, dari Bentong, hanya cedera ringan manakala seorang lagi pemandu pacuan empat roda, Syed Mohammad Hishammudin Syed Hamid, 26, bekerja sebagai peladang dari Raub, tidak cedera.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.