Polis siasat penganjur 2 himpunan Hari Pekerja

Polis siasat penganjur 2 himpunan Hari Pekerja

Penganjur dua perhimpunan itu akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan.

Polis berkata, hampir 200 peserta berarak dalam himpunan di hadapan Bangunan Maju Junction melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Leboh Ampang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan berhubung dua perhimpunan Hari Pekerja yang diadakan di ibu kota kerana tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Penganjur dalam kedua-dua perhimpunan tersebut akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, Dellhan berkata, perhimpunan itu disertai hampir 200 peserta yang diadakan di hadapan Bangunan Maju Junction dengan berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak ke Jalan Leboh Ampang.

Manakala, lebih kurang 30 orang menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

“Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.