Shahidan tidak tersenarai sebagai calon PAS Selangor

Shahidan tidak tersenarai sebagai calon PAS Selangor

Setiausaha PAS Selangor berkata, setakat ini, tiada perbincangan di peringkat negeri untuk meletakkan Ahli Parlimen Arau itu sebagai calon PAS di mana-mana kerusi DUN Selangor.

Pada PRU15, Shahidan Kassim yang namanya digugurkan daripada senarai calon BN membuat kejutan apabila bertanding atas tiket PAS di Parlimen Arau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Nama Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang disebut-sebut akan bertanding pada PRN Selangor kali ini tiada dalam senarai pendek calon PAS negeri itu.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihaknya sudah mengenal pasti calon yang akan diletakkan di kerusi ditandingi parti tersebut.

Katanya, setakat ini, tiada perbincangan di peringkat negeri untuk meletakkan Shahidan sebagai calon PAS di mana-mana kerusi DUN Selangor.

“Setakat ini, calon yang disenarai pendek PAS Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja. Tiada perbincangan untuk meletakkan Shahidan,” katanya lapor Mingguan Malaysia.

“Bagaimanapun, pada peringkat pusat, kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkan beliau sebagai calon di mana-mana kerusi DUN bagi PRN akan datang.”

Roslan berkata, berdasarkan kenyataan bekas menteri Wilayah Persekutuan itu, Shahidan hanya menawarkan diri untuk bertanding pada PRN jika diperlukan, bukannya mengumumkan akan bertanding.­

“Beliau hanya menawarkan diri untuk diletakkan sebagai calon, tetapi jika (PAS) pusat berpandangan bahawa Shahidan boleh membantu menawan Selangor, kami tiada masalah untuk beri sokongan,” katanya.

Shahidan yang namanya digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 membuat kejutan apabila bertanding atas tiket PAS di Parlimen Arau.

Semalam, ahli politik veteran itu sekali lagi membuat kejutan apabila menzahirkan hasrat bertanding pada PRN Selangor, dikhabarkan sebagai calon DUN Semenyih.

Dalam pada itu, Roslan turut memaklumkan bahawa pembahagian kerusi DUN di Selangor antara PAS, Bersatu dan Gerakan sudah hampir selesai.

“Ada dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan. Kami bersepakat menyerahkan keputusan kepada PAS pusat untuk menyelesaikannya,” katanya.

“Apabila pembahagian kerusi selesai, barulah proses memperkenalkan calon dibuat setelah senarai calon mendapat ‘green light’ daripada kepimpinan tertinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.