
Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian pada 11.30 pagi itu, pemandu berusia 51 tahun bertengkar dengan ibu mentuanya, dipercayai disebabkan isu perebutan harta di sebuah rumah di Jalan Dato, dekat sini.
Beliau berkata, dalam prtengkaran itu, suspek mengeluarkan sebatang kayu dan bertindak mengetuk bonet hadapan serta bumbung kereta ibu mentuanya sehingga kemek.
“Ibu mentuanya yang ketakutan masuk ke dalam kereta dan memandu ke Balai Polis Chukai untuk mendapatkan pertolongan.
“Dalam perjalanan, suspek mengekori ibu mentuanya dan cuba memotong dengan cara berbahaya sehingga merempuh motosikal (ditunggang) anggota polis wanita yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.
Hanyan berkata, anggota polis berpangkat sarjan berusia 36 tahun itu dikejarkan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, suspek cuba melarikan diri selepas kejadian, namun berjaya ditahan pada 2.15 petang tadi di tepi jalan di kawasan Ibok, kira-kira 18km dari tempat kejadian.
“Suspek gagal melarikan diri lebih jauh kerana kereta dinaikinya rosak dan tersadai di tepi jalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.