
Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata, semua pihak perlu menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan tanpa sebarang tekanan.
“Veteran faham penyokong Najib tidak sabar menunggu pembebasannya. Tapi kata putusnya ada pada Agong.
“Apa yang boleh dilakukan (adalah) berdoa semoga Allah mempermudahkan segala urusan pengampunan itu,” katanya dalam kenyataan.
Mustapha turut memberikan amaran kepada pemimpin parti yang membentuk gabungan kerajaan perpaduan agar tidak mengeluarkan kenyataan sama ada menyokong mahupun membantah proses pengampunan.
“Ini hal Umno dan Agong. Najib sudah membuat petisyen mengikut peruntukan undang-undang dan Majlis Kerja Tertinggi sedang berusaha menghadap Agong untuk merayu.
“Jangan bertindak semberono sehingga membelakangkan kuasa Agong. Jangan sekali-kali menjadi lebih sudu dari kuah,” katanya.
Memetik sumber, FMT sebelum ini melaporkan bahawa Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan pengampunan bekas perdana menteri itu.
Zahid turut menggesa semua pihak agar berhenti memberikan komen tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan buat Najib, termasuk pemimpin Amanah, Khalid Samad yang membantah pengampunan itu.