
“Saya harap dalam PRU16 nanti atau (apabila) kita ada pilihan raya negeri Perak nanti, kita mahu rampas kerusi dua Dewan Undangan Negeri di Pasir Salak, malah Insya-Allah kita juga akan rampas semula kerusi Parlimen Pasir Salak,” kata presiden Umno itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Pasir Salak, di Kampong Gajah, yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.
Kawasan Parlimen Pasir Salak dan dua DUN bawahnya kini disandang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) iaitu Jamaludin Yahya (Parlimen Pasir Salak), Zainol Fadzi Paharudin (DUN Sungai Manik) dan Zafarulazhan Zan (DUN Kampong Gajah).
Sementara itu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri merangkap menteri kemajuan desa dan wilayah turut mengumumkan jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop bakal dibuka untuk pengguna, pada 31 Mei ini.
“Saya ingin mengesahkan dan saya mengumumkan di Pasir Salak ini, ‘by hook or by crook’ (dengan apa cara sekalipun) 31 Mei wajib orang Pasir Salak dan Bagan Datuk menyeberang memakai jambatan baharu itu.
“Jadi, saya harap pembangunan seperti itu kita manfaatkan untuk bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi yang penting ialah pembangunan ekonomi Kampong Gajah dan kawasan Parlimen Pasir Salak serta penduduk dan kawasan Parlimen Bagan Datuk akan dapat dibangunkan,” katanya.
Pada 11 April, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan memaklumkan pembukaan jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop yang dijadual menjelang Aidilfitri ini ditunda ke penghujung Mei ini.