Rumah Terbuka Madani bukan ‘kebetulan’, Bersih gesa ketat undang-undang sumber kerajaan

Rumah Terbuka Madani bukan ‘kebetulan’, Bersih gesa ketat undang-undang sumber kerajaan

Rumah terbuka di Kedah diadakan pada 29 April disusuli Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Terengganu (13 Mei), Selangor (14 Mei) dan Kelantan (21 Mei).

Thomas Fann berkata dakwaan terhadap kerajaan mempunyai asas kerana rumah terbuka itu diadakan di enam negeri bakal berdepan PRN.
PETALING JAYA:
Pemantau pilihan raya, Bersih meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketatkan ekoran kontroversi penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang didakwa berunsur politik.

“Penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri dalam beberapa bulan lagi bukan satu kebetulan,” kata pengerusinya Thomas Fann.

Rumah terbuka di Kedah diadakan pada 29 April disusuli Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Terengganu (13 Mei), Selangor (14 Mei) dan Kelantan (21 Mei). Enam negeri itu akan mengadakan PRN selepas Jun ini.

Fann berkata dalam konteks itu pembangkang mempunyai asas apabila mendakwa penganjuran majlis berkenaan mempunyai elemen pembaziran dan bermotifkan politik.

“Memandangkan sumber persekutuan akan digunakan untuk menganjurkan perhimpunan mega ini dengan pilihan raya yang semakin hampir, tuduhan yang dilemparkan terhadap perdana menteri (Anwar Ibrahim) bukan tanpa merit,” katanya kepada FMT.

Fann bagaimanapun menambah penyalahgunaan sumber kerajaan biasa didengari dan pembangkang “yang kini merungut” juga terpalit dakwaan itu ketika berkuasa.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor antara yang lantang mengkritik berkata majlis rumah terbuka kerajaan persekutuan itu sebagai kempen pilihan raya tidak wajar diadakan, dan bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya.

Timbalan Setiausaha Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan pula dilaporkan berkata rumah terbuka di enam negeri itu bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendakwa kos menganjurkan rumah terbuka di enam negeri itu lebih murah berbanding menganjurkan jamuan Aidilfitri di Putrajaya kerana kehadiran yang lebih rendah dan tanggungan.

Menurutnya, Putrajaya hanya menanggung belanja sepenuhnya bagi jamuan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang ditadbir PAS, manakala rumah terbuka di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dikendalikan dan dibayar oleh kerajaan negeri.

Fann berkata tiba masanya amalan penyalahgunaan sumber kerajaan untuk menganjurkan aktiviti menjurus kepada kempen politik dihentikan segera.

“Perlu ada undang-undang lebih jelas serta ketat bagi menghentikan penyalahgunaan sumber negara untuk berkempen,” katanya yang turut mencabar pembangkang untuk mengemukakan saranan sama.

“Pembangkang harus mengemukakan saranan untuk menghentikan amalan tersebut jika mereka benar-benar tidak berpuas hati dengan tindakan perdana menteri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.