Kerajaan perpaduan mahu noktahkan kemiskinan tegar, kata PM

Kerajaan perpaduan mahu noktahkan kemiskinan tegar, kata PM

Mengaibkan apabila negara mempunyai khazanah besar, seperti minyak dan gas, serta kelapa sawit tetapi tidak dapat menyelesaikan soal asas seperti kemiskinan tegar, katanya.

Negeri-negeri yang masih mencatatkan jumlah kemiskinan tegar yang tinggi termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah, menurut perdana menteri.
ALOR SETAR:
Kerajaan perpaduan berhasrat menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini, yang disifatkan sebagai mengaibkan bagi sebuah negara yang mempunyai kekayaan khazanah seperti minyak dan gas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, negeri-negeri yang masih mencatatkan jumlah kemiskinan tegar yang tinggi termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Tanpa kecuali, kita akan pastikan masalah kemiskinan tegar ini akan dapat ditangani dengan baik, dan di Kedah melalui program-program, kerajaan perpaduan Madani akan menoktahkan jumlah kemiskinan tegar di seluruh Kedah.

“Saya minta seluruh jentera kerajaan persekutuan, jentera kerajaan negeri dan majlis perbandaran untuk membantu ke arah ini kerana mengaibkan negara mempunyai keupayaan dengan khazanah besar, minyak dan gas, kelapa sawit dan pelbagai industri (tetapi) tidak boleh menyelesaikan soal asas, yakni kemiskinan tegar dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih sempena keberangkatan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di sini hari ini.

Anwar berkata, Kedah ialah negeri yang diberikan tumpuan oleh kerajaan persekutuan, yang memutuskan untuk memberikan peruntukan perbelanjaan yang tinggi kepada negeri itu berbanding tahun-tahun sebelumnya, mencecah RM1.6 bilion untuk tahun ini.

Katanya, jumlah itu tidak merangkumi beberapa langkah lain, seperti bantuan untuk sekolah dan klinik daif, selain projek-projek bekalan air di beberapa daerah.

“Baru-baru ini, apabila saya ke China, ada cadangan untuk meningkatkan pelaburan di Kulim Hi-Tech Park, dan untuk pengetahuan rakyat saya memberi jaminan untuk berikan kerjasama penuh bagi mempercepatkan proses itu.

“Insya-Allah dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, ini akan dapat memacu pertumbuhan yang lebih bermakna di Kedah Darul Aman,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ada beberapa permohonan lain untuk Kedah yang akan dipertimbangkan, dan beliau menekankan bahawa kerajaan akan terus memelihara nasib rakyat termasuk di negeri-negeri yang tidak bersama dalam kerajaan perpaduan.

Mengulas mengenai sambutan rumah terbuka hari ini, Anwar berkata, ini adalah kali pertama majlis besar-besaran bersama rakyat diadakan, dihadiri oleh bukan sahaja menteri-menteri, tetapi juga duta-duta dan pesuruhjaya tinggi, jumlah paling ramai di luar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Majlis ini adalah untuk rakyat bersama dengan pimpinan, bagi menyatakan penghargaan kerajaan perpaduan kepada rakyat dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan kita tanpa mengira kaum, parti (politik) atau agama,” katanya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof; Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; serta barisan jemaah menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.