Mahkamah Tinggi arah henti roboh gerai penjaja Taman Medan

Mahkamah Tinggi arah henti roboh gerai penjaja Taman Medan

Perintah injunksi sementara itu berkuatkuasa sehingga permohonan berhubung dokumen kes terbabit selesai.

MBPJ bercadang untuk merobohkan Gerai Wawasan 2020 di Taman Medan dan mahu semua pemilik mengosongkan premis itu selewat-lewatnya pada 29 April. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi sementara bagi menghalang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merobohkan gerai makan yang dikendalikan 15 penjaja di Taman Medan, Petaling Jaya, sejak 30 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Yeow Choy membenarkan permohonan pemilik gerai di Taman Wawasan 2020 selepas peguam MBPJ, Ho Xin Ying, tidak membantah permintaan itu.

Injunksi sementara itu akan kekal berkuat kuasa sehingga permohonan penzahiran dokumen berhubung kes itu selesai.

Choong juga menetapkan saman untuk pengurusan kes pada 8 Mei apabila arahan lanjut akan diberikan kepada pihak berkenaan.

Peguam Rueben Mathiavaranam, yang mewakili pemilik gerai, memberitahu FMT bahawa sekurang-kurangnya, anak guamnya menuntut pampasan yang adil jika mereka mahu diusir.

“Mereka menjalankan perniagaan di sana selama lebih 30 tahun, memperoleh pelanggan tetap dan dijalankan dengan baik. Mereka tidak boleh ditolak begitu ke mana-mana sahaja.

“Jika pampasan hendak diberikan, maka ia perlu adil supaya mereka boleh memulakan semula perniagaan mereka,” katanya.

Pada Rabu, pemilik gerai memfailkan saman pemula untuk penzahiran dokumen daripada MBPJ yang dikatakan perlu dilakukan untuk menyokong cadangan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan majlis itu untuk merobohkan premis terbabit.

Mereka mahu Mahkamah Tinggi mengarahkan MBPJ mengemukakan semua bukti komunikasi antara mereka dan majlis serta salinan semua lesen, invois, resit, minit mesyuarat dan rekod lain dalam simpanan mereka sejak premis itu dibina pada 1993 hingga sekarang.

Saman itu difailkan selepas MBPJ mengeluarkan notis bertarikh 10 April, mewajibkan mereka mengosongkan premis itu selewat-lewatnya 29 April sebelum kerja-kerja perobohan.

Dalam afidavit sokongannya, peniaga gerai Noor Sita Osman mendakwa setiap seorang daripada mereka telah membayar RM8,600 untuk pembinaan gerai itu. Wang tambahan dibelanjakan untuk mengubahsuai, katanya.

Pemilik gerai mengatakan mereka mempunyai hak undang-undang atau kontrak ke atas gerai dan berhak mendapat pampasan jika diusir.

Difahamkan, MBPJ bercadang untuk merobohkan premis untuk kerja-kerja pelebaran jalan dan perparitan.

Pengusaha gerai berkata mereka berhasrat untuk memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan MBPJ merobohkan premis itu.

Prosiding sekarang telah dimulakan dalam usaha untuk mendapatkan dokumen kerana pemilik gerai tidak menyimpan rekod yang betul mengenai komunikasi mereka dengan MBPJ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.