
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di saluran kabel utama berhampiran susur keluar Taman Laguna, Pulau Indah, Klang petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.04 petang.
“Kejadian membabitkan lelaki tempatan dalam lingkungan 30-an. Sebaik tiba, kita belum dapat mengeluarkan mangsa kerana masih ada arus elektrik di situ,” katanya menurut Sinar Harian.
Bagaimanapun katanya, bomba mendapatkan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan memaklumkan polis berhubung kejadian berkenaan.