
Kira-kira 200 ahli keluarga, rakan artis dan peminat hadir ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), dekat sini pada 9.30 malam tadi.
Ahli XPDC, Zuar atau nama sebenarnya, Azuar Md Tasi, 57, berkata kali terakhir dia menemui Mael pada pertengahan Ramadan selepas bersama menyertai sebuah program.
“Pemergian Allahyarham sememangnya akan dirasai industri hiburan di negara ini, selain sifatnya yang baik dengan semua orang dan juga amat rajin bersedekah,” katanya selepas pengebumian penyanyi kumpulan XPDC itu, di sini.
Adik arwah, Syed Ali Syed Ibrahim, 50, berkata dia kagum dengan abangnya yang disifatkan sanggup berkorban demi peminat, walaupun dirinya tidak sihat sejak kebelakangan ini.
Katanya, Allahyarham sanggup ke mana saja demi menghargai peminatnya dan meminta bantuan rakan artis lain untuk bertemu peminat XPDC, walaupun lokasinya agak jauh dari kediamannya di Muar.
“Dia (arwah) sememangnya tidak tunjuk di hadapan peminat yang dia sakit. Saya agak terkejut bila tahu dia telah meninggal dunia malam tadi,” katanya.
Anak saudaranya, Norashikin Abdullah, 44, berkata sikap bapa saudaranya yang sangat baik dan sentiasa tenang itu pastinya akan memberi kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai.
“Peribadi arwah ini memang luar biasa kerana dia memang menekankan pendidikan agama kepada anak-anaknya sejak kecil, sebab itu Allah ambil nyawanya dalam bulan baik ini dan pada Khamis malam Jumaat (malam tadi).
“Raya kali ini juga dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli keluarga, seolah-olah memberi petanda kepada kami, dia akan pergi selamanya,” kata Norashikin.