
Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Zazuli Johan berkata, tunggakan itu termasuk penalti ke atas semua syarikat dan entiti perniagaan lewat membayar GST yang dilaksanakan pada 2015.
Beliau berkata, pihaknya tidak pernah berdiam diri, sebaliknya mengambil pelbagai pendekatan dan tindakan bagi mendapatkan semula hasil negara itu.
“Kita mengambil tindakan penguatkuasaan melalui pendakwaan di mahkamah, selain menyekat perjalanan ke luar negara pemilik syarikat yang gagal menyelesaikan tunggakan cukai tersebut.
“Tahun lalu, kita mendapati lebih 10,000 entiti perniagaan membuat penyelesaian bayaran tunggakan GST, termasuk nilai penalti berjumlah RM800 juta,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya turut menggalakkan syarikat terbabit tampil secara “sukarela” melalui khidmat nasihat dan program mengutip tunggakan itu.
Katanya, ia bagi membantu syarikat terbabit mengurus dan meningkatkan tahap pematuhan, selain mengelakkan tunggakan cukai kelak.
Zazuli berkata, kastam turut memperkenalkan Program Pengurangan Remisi dan Surcaj di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018, Akta Cukai Pelancongan 2017 dan Akta Levi Pelepasan 2019 bagi membantu industri terjejas dengan ekonomi semasa.
Melalui program itu, katanya, penalti atau surcaj dikurangkan sehingga 100%, tertakluk kepada syarat ditetapkan mulai 1 Feb lalu hingga 30 Sept ini.
“Individu dan syarikat yang disenarai hitam digalakkan menyemak status perjalanan lebih awal melalui https://sspi.imi.gov.my/sspi/ untuk mengetahui status sekatan perjalanan dikenakan.”
Menurutnya, Program Pelepasan Sementara untuk sekatan perjalanan ke luar negara turut diperkenalkan tahun ini bagi syarikat disenaraihitamkan, tetapi tertakluk kepada syarat, tujuannya bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan ke atas mereka dan memastikan mereka membayar tunggakan GST dan penalti.
Beliau menggesa syarikat terbabit ke pejabat Jabatan Kastam berhampiran untuk mendapatkan pengurangan penalti dan surcaj itu.