Tak wajib tetapi galak pakai pelitup muka di sekolah, tempat awam, kata Dr Zaliha

Tak wajib tetapi galak pakai pelitup muka di sekolah, tempat awam, kata Dr Zaliha

Menteri kesihatan itu berkata setakat ini tiada garis panduan baharu dikeluarkan walaupun terdapat kemunculan subvarian Omicron baharu.

Dr Zaliha Mustafa berbual dengan staf Kementerian Kesihatan di sesi Townhall Kertas Putih Zon Negeri Sarawak di Hospital Umum Sarawak. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata setakat ini tiada garis panduan baharu dikeluarkan walaupun terdapat kemunculan subvarian Omicron baharu.

“Kita (KKM) menggalakkan, bukan mewajibkan sebab berdasarkan statistik sekarang kes sebenarnya menurun (merujuk kes dalam Malaysia).

“Kita tidak perlu panik dengan kes yang ada walaupun berkait dengan subvarian Omicron, kes berada pada tahap 1 dan 2. Justeru, kita masih melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama, menggalakkan orang ramai dan anak-anak di sekolah pakai pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Townhall Kertas Putih Zon Negeri Sarawak di Hospital Umum Sarawak yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Zaliha berkata KKM akan terus memantau perkembangan kes baharu Covid-19 di Malaysia dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang keputusan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menaikkan XBB.1.16 sebagai varian baharu yang perlu diberikan perhatian.

Strain baharu itu mula dikesan pada Januari dan sejak itu telah ditemukan di lebih 30 negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.