Projek bina semula LCS selepas kontrak tambahan muktamad

Projek bina semula LCS selepas kontrak tambahan muktamad

Panglima TLDM berkata, kontrak yang sedang disediakan Kementerian Pertahanan itu akan melibatkan beberapa pindaan, termasuk tempoh masa dan kos.

Laksamana Abdul Rahman Ayob berkata, kontrak tambahan projek LCS dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani pada LIMA 2023 di Langkawi bulan depan.
LUMUT:
Projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dijangka dapat disambung semula tiga bulan selepas kontrak tambahan keenam projek itu dimuktamadkan, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Abdul Rahman Ayob.

Beliau berkata, kontrak yang sedang disediakan Kementerian Pertahanan itu akan melibatkan beberapa pindaan, termasuk tempoh masa dan kos.

“Seperti sedia maklum mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 April lalu bersetuju meneruskan projek LCS, ia satu keputusan penting bagi meneruskan proses selanjutnya.

“Jika perjanjian (kontrak) itu dimuktamadkan, kita berharap projek LCS dapat dimulakan semula secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Istiadat Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, projek LCS tetap diteruskan dan kapal pertama dijangka beroperasi pada 2026.

Sebelum ini, pembinaan LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendedahkan tiada sebuah pun kapal itu disiapkan, walaupun kerajaan membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Rahman berkata, kontrak tambahan itu dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Langkawi yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei ini.

Mengenai projek kapal misi pesisir (LMS), beliau berkata, keutamaan diberikan kepada rancangan perolehan aset bagi menggantikan kapal TLDM yang usang.

“Fokus utama pada masa ini adalah perolehan LMS Batch 2 seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2023.

“Aset yang kita terima daripada kumpulan pertama tidak menepati piawaian, kita jangkakan yang kedua mempunyai keupayaan tempur lebih baik, kita harap proses perolehan dapat dimuktamadkan segera.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.