Lantik peguam jadi pesuruhjaya kehakiman, redakan kes jenayah tertunggak

Lantik peguam jadi pesuruhjaya kehakiman, redakan kes jenayah tertunggak

Secara alternatif, pihak berkuasa patut mempertimbangkan jaminan walaupun bagi kesalahan tidak boleh dijamin termasuk bunuh dan dadah, cadang seorang peguam.

Seorang bekas pensyarah yang berdepan tuduhan bunuh di Mahkamah Tinggi Seremban akan terus ditahan reman sementara perbicaraannya yang hanya dijadualkan bermula pada Mac 2025. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman patut mempertimbangkan melantik peguam berpengalaman sebagai pesuruhjaya kehakiman (JC) untuk membantu mengurangkan kes jenayah tertunggak.

S Paul Krishnaraja berkata, peguam berkenaan boleh berkhidmat untuk satu atau dua tahun, termasuk mengendalikan perbicaraan melibatkan hukuman mati.

“Biarkan mereka membicarakan kes bunuh dan mengedar dadah. Mereka boleh kembali mengamalkan undang-undang selepas kontrak tamat,” kata Paul yang juga pakar litigasi jenayah.

Beliau mengulas perbicaraan bekas pensyarah yang didakwa membunuh suaminya, hanya dijadualkan bermula di Mahkamah Tinggi Seremban pada Mac 2025. Lau Seck Yan, yang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya negeri Port Dickson pada 2018 didakwa pada 28 Januari tahun lalu dan tidak dibenarkan jaminan kerana menghadapi hukuman mati.

Paul, yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Majlis Peguam Negeri Sembilan berkata, sejak tahun lalu hanya seorang hakim Mahkamah Tinggi Seremban mendengar perbicaraan dan rayuan jenayah untuk seluruh negeri. Dua lagi hakim hanya mendengar kes sivil.

“Bagaimanapun, perbicaraan Lau mungkin dipercepatkan sekiranya kes yang telah dijadualkan terdahulu dapat dihabiskan awal,” katanya.

Peguam Salim Bashir berkata pandemik Covid-19 juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian kes melibatkan hukuman mati memandangkan perbicaraan terbuka tidak dapat diadakan antara 2020 hingga awal tahun lalu akibat SOP ketat bagi mengekang penularan virus.

Menurutnya, disebabkan itu kes yang didaftarkan lebih awal diberikan keutamaan.

Beliau berkata, di Kuala Lumpur dan Selangor perbicaraan melibatkan hukuman mati mungkin hanya dapat dimulakan dalam tempoh antara 10 bulan hingga tiga tahun, walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam masing-masing mempunyai sekurang-kurangnya enam hakim hanya untuk perbicaraan serta rayuan jenayah.

“Saya sokong sebarang inisiatif bagi melantik peguam yang cekap sebagai hakim sementara bagi mengurangkan kes tertunggak,” katanya.

Sementara itu, K A Ramu, pengamal undang-undang jenayah di Melaka berkata perbicaraan di negeri itu mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk bermula kerana dua hakimnya turut mendengar kes sivil.

Katanya, lebih banyak kes akan tertangguh disebabkan peningkatan jenayah akibat perkembangan populasi dan aktiviti ekonomi.

Menurutnya, satu penyelesaian adalah untuk menawarkan jaminan walaupun kepada pesalah yang menghadapi hukuman mati.

Katanya, buat masa ini hanya segelintir orang memenuhi kriteria jaminan dalam keadaan itu mengikut Kanun Tatacara Jenayah, manakala Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak membolehkan seseorang yang menghadapi hukuman penjara lima tahun atau lebih diberikan ikat jamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.