7 paip bawah tanah bocor, kanvas elak runtuhan susulan

7 paip bawah tanah bocor, kanvas elak runtuhan susulan

Timbalan ketua pengarah JKR berkata, pengaliran air dalam kuantiti banyak dari paip yang dianggarkan berusia lebih 40 tahun menyebabkan kejadian tanah runtuh.

Pemandangan udara di kawasan tanah runtuh depan Akademi SPRM hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan terperinci Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan tanah runtuh dekat pintu masuk Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sekurang-kurangnya tujuh paip bawah tanah di kawasan itu mengalami kebocoran.

Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Zulkipli Nasri berkata, keadaan itu menyebabkan pengaliran air dalam kuantiti banyak dari paip yang dianggarkan berusia lebih 40 tahun hingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

“Kalau tengok dekat situ, bila berlaku runtuhan, kita lihat banyak air keluar. Jadi, saya rasa itu mungkin puncanya. Bagi mendapatkan butiran terperinci, penyiasatan akan dijalankan lebih lanjut.

“Indikator awal daripada Akademi SPRM juga memaklumkan bil air mereka meningkat,” katanya menurut Bernama.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR mendapati wujud kebocoran pada sistem perpaipan bekalan air di kawasan itu.

Kebocoran pada sistem perpaipan itu menyebabkan tanah mengalami ketepuan tinggi, seterusnya meningkatkan daya sisi kepada tembok penahan sedia ada daripada jenis contiguous micropile.

Zulkipli berkata, status sama ada bangunan akademi itu selamat diduduki atau tidak hanya dapat ditentukan dalam tempoh tiga minggu lagi, selepas penilaian terperinci JKR selesai.

“Buat masa ini, kita tidak benarkan petugas dan kakitangan Akademi SPRM bertugas di sini sehingga mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai berkata, pemasangan kanvas di kawasan tanah runtuh berjaya mengelakkan runtuhan lebih serius.

Katanya, hujan lebat pada petang semalam berisiko menyebabkan runtuhan susulan, jika tindakan pantas itu tidak diambil.

“Mujurlah selepas JKR memasang kanvas semalam, walaupun tak sepenuhnya (meliputi kawasan runtuhan), kita dapati tiada sebarang pergerakan tanah atau hakisan lagi. Tiada sebarang runtuhan berlaku.

“Pagi ini, kerja pemasangan kanvas disiapkan sebelum pemasangan cerucuk besi dilakukan esok.”

Beliau berkata, pelan jalan alternatif untuk memasuki Akademi SPRM yang diusulkan sebelum ini akan ditambah baik selepas mengambil kira faktor tertentu.

“Mungkin ada sedikit alternatif terhadap jalan akses ke Akademi SPRM yang saya nyatakan semalam. Mengikut perancangan asal, ia akan dibuat di sekitar gelanggang tenis berhampiran Institut Integriti Malaysia (IIM), namun Ketua Pengarah JKR (Ahmad Redza Ghulam Rasool) maklumkan ia akan diubah sedikit untuk mengelakkan lebih banyak kerosakan di sana.

“Jalan alternatif ini untuk membolehkan kenderaan milik Akademi SPRM dikeluarkan bagi kegunaan harian. Ia akan mula dibina selepas kerja pemasangan cerucuk besi siap sepenuhnya,” katanya sambil mengulangi bangunan Akademi SPRM dan IIM) selamat digunakan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.