4 lelaki mengaku salah guna kekerasan cederakan polis

4 lelaki mengaku salah guna kekerasan cederakan polis

Mereka dibenarkan diikat jamin RM1,500 dan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Pontian hari ini untuk menghadapi tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan mencederakan seorang anggota polis. (Gambar Bernama)
PONTIAN:
Empat lelaki, termasuk dua beradik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan menyebabkan kecederaan seorang anggota polis dekat Kulai pada pagi 1 Syawal.

Khalid Khamis, 38, Mohamed Efendi Mohamed Said, 40, dan adiknya Muhammad Fazli, 24, didakwa bersama menggunakan kekerasan terhadap Muhammad Hasrull Mohd Namiri dengan niat menghalangnya menjalankan tugas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di KM7 Jalan Kulai menghala Kota Tinggi, dekat Kulai kira-kira 3 pagi Sabtu lalu.

Sementara itu, Mohamad Haikal Karim, 23, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Hasrull dengan tangan dan kaki di lokasi serta waktu sama.

Khalid, Efendi dan Fazli dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Haikal pula didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membenarkan Haikal diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin, manakala tiga yang lain – Khalid, Efendi dan Fazli masing-masing dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 30 April ini untuk keputusan hukuman di Mahkamah Majistret Kulai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.