12 keluarga peneroka serah memorandum kepada MB bantah notis usir

12 keluarga peneroka serah memorandum kepada MB bantah notis usir

Dua belas keluarga dari Kampung Koskan Tambahan di Rawang, diusir pemaju selepas mendiami tanah itu hampir 40 tahun.

Sebahagian peneroka yang berhimpun di luar pejabat Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini.
SHAH ALAM:
Lebih 20 peneroka dari Kampung Koskan Tambahan di Rawang berkumpul di luar pejabat Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di sini, hari ini untuk menyerahkan memorandum membantah pengusiran mereka yang belum diselesaikan pemaju.

Dua belas keluarga itu yang menduduki tanah berkenaan hampir 40 tahun, diberitahu pemaju untuk mengosongkan tapak terbabit selewat-lewatnya 2 Mei ini.

Dalam memorandum mereka, peneroka itu berkata, mereka mahu “pengusiran paksa” dihentikan sehingga rundingan dengan pemaju mencapai penyelesaian baik dan Amirudin menjadi orang tengah dalam pertikaian itu.

Mereka menggesa Amirudin menghentikan sebarang “pencerobohan” di kawasan itu dan mempercepatkan “proses pemilikan tanah” untuk mereka.

Mereka meminta pihak berkuasa menjelaskan bagaimana tanah itu boleh diberikan kepada pemaju sedangkan Pejabat Tanah Hulu Selangor sebelum ini menolak permohonan peneroka untuk mendapatkan tanah terbabit.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvan yang mewakili kumpulan itu berkata, Pejabat Tanah Hulu Selangor menolak permohonan mereka untuk mendapatkan tanah itu atas alasan ia terletak di kawasan rizab Sungai Serendah yang berisiko dilanda banjir.

“Tetapi sekarang, pejabat tanah kata ia dimiliki syarikat swasta. Ini tidak masuk akal dan saya rasa menteri besar perlu menyiasat perkara ini,” katanya dalam sidang media.

Memorandum itu diterima Nor Baini Zainuddin, penolong setiausaha Bahagian Korporat Pejabat Sekretariat Kerajaan Negeri.

“Saya akan menyampaikan mesej itu kepada pejabat menteri besar,” katanya.

Seorang penduduk, Maszahar Hashim, 59, mempersoalkan bagaimana pemaju boleh mendapatkan tanah itu, jika ia diwartakan sebagai tanah rizab.

“Kami hadap boleh mendapatkan perintah penangguhan. Itulah sebabnya kami di sini untuk menyerahkan memorandum ini kepada menteri besar.”

Bulan lalu, penduduk terbabit mengadakan protes aman di luar Pejabat Tanah Hulu Selangor.

FMT sudah menghubungi pejabat menteri besar untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.