
Kamil Munim yang juga setiausaha politik menteri kewangan berkata, pembangkang hanya memainkan persepsi semata-mata, malah belum ada bukti daripada PN bahawa penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh kerajaan persekutuan adalah pembaziran.
“PN memberi hukuman bahawa pimpinan Kerajaan Malaysia Madani tidak berhak menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenal perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.
Ahad lalu, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri yang akan mengadakan PRN dianggap sebagai kempen pilihan raya tidak wajar diadakan, dan bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya.
Hari ini, PN menyuarakan kebimbangan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri itu mungkin melibatkan penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan.
Timbalan Setiausaha PN, Takiyuddin Hassan, berkata rumah terbuka di enam negeri yang bermula di Kedah pada 29 April itu bermotifkan politik.
Rumah terbuka di Kedah akan disusuli Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei). Enam negeri itu akan mengadakan PRN selepas Jun ini.
Dalam pada itu, Kamil berkata PN secara rasminya menjadikan rumah terbuka Aidilfitri kerajaan persekutuan sebagai modal yang mencetuskan permusuhan.
Katanya, kenyataan rasmi PN bercanggah dengan dua menteri besar mereka di Terengganu dan Kelantan yang terang mengalu-alukan kehadiran Anwar untuk menganjurkan sambutan Aidilfitri di negeri tersebut.
Katanya, sambutan Aidilfitri pada peringkat negeri oleh kerajaan persekutuan tidak wajar dilabelkan melangkaui sempadan hormat dan adab.
“Usaha mendekati rakyat tanpa mengira sempadan negeri kerajaan dan pembangkang adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
“Dakwaan motif politik dan tuduhan menggunakan jentera parti untuk persaingan pengaruh yang tidak dibuktikan adalah kenyataan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada pimpinan perdana menteri,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri yang dimulakan penganjurannya di Kedah pada 29 April ini tidak menyebabkan pembaziran malah ia sebagai usaha meraikan rakyat melalui jamuan makan sempena Aidilfitri.