
Action for Primates and Lady Freethinker berkata, mereka kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan ke atas laporan itu, sambil menambah perbuatan yang disyaki dilakukan pelaku adalah sadis.
“Kami merayu pihak berkuasa Malaysia mempertimbangkan semula kes ini, supaya mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan atas kekejaman ini, dan mencegah orang lain melakukan perbuatan yang teruk ini.
“Kita tidak harus bertolak ansur dengan perbuatan kekejaman terhadap haiwan,” katanya dalam kenyataan bersama.
Januari lalu, kumpulan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) membuat laporan polis berhubung dakwaan penyeksaan ke atas anak kera berekor panjang, selepas mendapat maklumat daripada kedua-dua kumpulan itu.
Pelaku dikatakan merakam aksi penyeksaan primat itu dan menjual video berkenaan dalam kumpulan Telegram dinamakan “Monkey Haters”. Pelaku mengenakan bayaran jika sesiapa dalam kumpulan itu ingin menonton video penuh.
Paparan video menunjukkan anak kera berkenaan dicacat, dipotong, dihentak objek tumpul, dibakar, direbus, dan dilapah hidup-hidup.
Awal bulan ini, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam, Shukri Ayob mengesahkan laporan polis berhubung perkara itu diklasifikasikan sebagai NFA oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam yang juga aktivis Rajesh Nagarajan berkata, anak guamnya mengarahkannya menghantar surat kepada AGC untuk mengetahui mengapa tiada tindakan lanjut.
Lady Freethinker and Action for Primates berkata, terdapat komuniti dalam talian yang lantang menyatakan kebencian terhadap monyet, terutama menyasarkan kera berekor panjang di Asia Tenggara.
Mereka menegaskan kes serupa di Indonesia menyebabkan Asep Yadi Nurul Hikmah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda 5 juta rupiah kerana merakam penyeksaan anak kera dan menyiarkannya dalam talian.
“Lady Freethinker and Action for Primates juga menyeru media sosial dan platform perkongsian video mengambil tindakan segera bagi menghentikan kandungan penyeksaan haiwan yang disiarkan dalam talian,” kata kenyataan itu.