Mangsa banjir terima subsidi rumah sewa RM300 hingga 2026

Mangsa banjir terima subsidi rumah sewa RM300 hingga 2026

Menteri besar Kelantan berkata 58 keluarga dikenal pasti dari Kampung Gual To'Deh, Kampung Tersang dan Kampung Lachang bakal menerima manfaat itu.

Ahmad Yaakob (belakang, tiga dari kanan) bergambar dengan sebahagian penerima rumah ‘Home2Live’ di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang hari ini. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Kerajaan Kelantan menyediakan subsidi rumah sewa sebanyak RM300 selama enam bulan kepada mangsa banjir termenung di kawasan terkesan akibat Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Menteri Besar, Ahmad Yakob berkata setakat ini, 58 keluarga dikenali pasti dari Kampung Gual To’Deh, Kampung Tersang dan Kampung Lachang di Rantau Panjang, Pasir Mas, yang bakal menerima manfaat itu.

“Pemilihan penerima subsidi ini dilakukan melalui tapisan ketua kampung serta pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Parlimen berdasarkan syarat kelayakan.

“Subsidi ini diberi selama enam bulan ketika musim tengkujuh berlaku setiap tahun bermula 2023 hingga 2026,” katanya selepas Majlis Serahan Kunci 10 Rumah “Home2Live” di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang.

Beliau berkata, subsidi itu bagi membolehkan penerima menyewa kediaman lain yang bebas banjir selama enam bulan, sebelum kembali ke rumah masing-masing.

“Kita amat prihatin dengan nasib keluarga terlibat banjir akibat projek PLSB dan saya berharap bantuan ini dapat digunakan sebaiknya untuk meringankan beban mereka.”

Terdahulu, Ahmad menyerahkan 10 kunci rumah “Home2Live” kepada penerima asnaf di Rantau Panjang hasil sumbangan Muslim Care Malaysia Society berjumlah RM600,000.

“Semua rumah berkenaan dibina serentak bermula Oktober lepas dan siap sepenuhnya Januari sebelum diserahkan kunci kepada penerima, iaitu dalam kalangan asnaf, termasuk mangsa kebakaran.

“Pemilihan penerima rumah ‘Home2Live’ dilakukan dengan kerjasama pejabat DUN dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.