
“Pasukan terlibat perlu meneliti butirannya, kos dan kaedah pembayaran. Disebabkan ini merupakan kesinambungan, kosnya mungkin lebih rendah,” katanya kepada media Malaysia pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan empat hari ke China.
Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang dalam pertemuan dua hala secara berasingan di sini, semalam.
“Cadangan adalah ke arah itu, antara 20km dan 25km ke Rantau Panjang berhampiran sempadan Thailand.”
Anwar yang juga menteri kewangan berharap cadangan itu dapat direalisasikan dalam usaha kerajaan membangunkan kawasan terbabit.
“Kawasan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, terutamanya Rantau Panjang agak kurang membangun.
“Kami berharap dengan adanya stesen ini, ekosistem pembangunan dan perniagaan dapat ditingkatkan,.”
Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook memberitahu Dewan Rakyat, perbincangan lanjut dengan China dan kontraktor utama, China Communications Construction Co Ltd (CCCC) perlu kerana projek itu kini dalam pembinaan serta jajaran landasan ke Rantau Panjang sebahagian daripada pakej projek.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengesahkan Li akan mewakili China menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur akhir bulan depan.