
Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata runtuhan itu berlaku kira-kira 10 malam tadi.
“Ya, runtuhan tanah berlaku lagi malam tadi dan itu hanya runtuhan sedikit demi sedikit serta tidak begitu ketara,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, siasatan pasukan teknikal Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis masih diteruskan di lokasi runtuhan sejak awal pagi tadi.
Katanya, kawasan itu ditutup dengan kanvas sejak semalam, tetapi disebabkan masih berlaku runtuhan dan hakisan tanah, jadi penggunaan kanvas mungkin tidak dapat mengurangkan risiko bahaya di lokasi runtuhan.
“Kita sedang bincang untuk memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan, iaitu IIM dengan Akademi SPRM daripada terus terjejas akibat risiko hakisan tanah ini yang terjadi sejak semalam.”
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang untuk mempertimbangkan penanaman cerucuk besi sebagai penyelesaian segera serta mengenal pasti punca sebenar runtuhan dalam mesyuarat 3 petang ini.
“Setakat siasatan awal semalam di lokasi mendapati paip pecah salah satu punca yang ditemui mengakibatkan runtuhan itu dan kedua adalah takungan air akibat pemendapan tanah.”
Setakat ini, katanya, dua bangunan itu ditutup sehingga arahan lanjut dan sidang media mengenai hasil mesyuarat akan diadakan pada 5.30 petang ini.