KKM arah tarik balik produk mi segera jenama ‘Ah Lai’, Indomie

KKM arah tarik balik produk mi segera jenama ‘Ah Lai’, Indomie

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata arahan penarikan balik produk secara sukarela itu dikeluarkan bagi memastikan kawalan keselamatan makanan berterusan.

Pihak berkuasa Taiwan berkata “Mi Kari Putih Penang Ah Lai” dan “Indomie Perisa Ayam Spesial” mengandungi bahan penyebab kanser.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan penarikan balik produk secara sukarela terhadap dua jenama mi segera tempatan dan keluaran Indonesia susulan laporan pihak berkuasa Taiwan yang mendakwa ia mengandungi bahan penyebab kanser.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan, berkata penarikan balik itu membabitkan produk “Mi Kari Putih Penang Ah Lai” dan “Indomie Perisa Ayam Spesial”.

Bagaimanapun, beliau berkata persampelan “Mi Kari Putih Penang Ah Lai” mendapati ia mematuhi perundangan namun arahan itu dikeluarkan bagi memastikan kawalan keselamatan makanan berterusan.

“KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi keluaran berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

“Kita juga mengesahkan terdapat kemasukan produk Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran negara Indonesia ke negara ini. KKM mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk tersebut di semua pintu masuk negara dan meminta syarikat terlibat menarik balik secara sukarela dari pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian menyiasat dua produk mi segera keluaran Malaysia dan Indonesia yang didakwa mengandungi etilena oksida atau sebatian kimia yang boleh menyebabkan kanser.

Manakala jurucakap syarikat pengeluar mi segera berpusat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, yang dihubungi berkata pihaknya sudah menghantar sampel mi segeranya untuk ujian dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu.

Beliau mengesahkan, syarikat itu menghantar stok mi segera ke Taiwan tahun lalu dengan tarikh luput tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.